Thursday 15 December 2011

PENGENALAN PRASEKOLAH

PENDIDIKAN PRASEKOLAH




Pendidikan Prasekolah merupakan satu pendidikan asas yang memberikan pengalaman awal yang penting dalam dunia persekolahan kanak-kanak. Ianya dapat membekalkan kanak-kanak dengan kemahiran, keyakinan diri dan sikap positif.

Pendidikan prasekolah menitikberatkan pendekatan “Bermain Melalui Bermain” yang mana programnya disesuaikan dengan tahap perkembangan kanak-kanak. Di samping itu prasekolah juga berfokuskan kepada perkembangan kanak-kanak yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu.

Pendidikan prasekolah berkonsepkan satu program penyediaan pengalaman pembelajaran kanak-kanak 4-6 tahun dalam jangka masa 1 tahun atau lebih sebelum memasuki ke tahun 1 iaitu alam persekolahan yang lebih formal.

MATLAMAT PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Pendidikan Prasekolah bertujuan memperkembangkan potensi kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat, menyuburkan serta aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan dan membentuk konsep kendiri yang positif pada diri kanak-kanak agar mereka berjaya dalam persekitaran sedia ada dan bersedia untuk menangani cabaran dan tanggungjawab di sekolah rendah kelak.
  
OBJEKTIF PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) menyediakan peluang kepada kanak-kanak berumur empat (4) hingga enam (6) tahun untuk mencapai objektif dalam aspek jasmani, emosi dan sosial, intelek dan rohani seperti berikut:
  1.  Membina kecergasan badan.
  2.  Mempunyai tubuh badan yang sihat.
  3. Mempraktikkan amalan kesihatan yang baik.
  4.  Mempraktikkan langkah-langkah menjaga keselamatan diri.
  5. Menguasai kemahiran motor halus dan asas motor kasar.
  6. Mempunyai kematangan emosi.
  7. Mempunyai konsep kendiri yang positif dan jati diri.
  8.  Berani menyuarakan pandangan dan perasaan.
  9. Berkebolehan berinteraksi dengan orang lain.
  10. Boleh bekerja secara bersendirian dan juga bekerja secara berkumpulan.
  11.  Menghormati perasaan serta hak orang lain dan seterusnya membentuk perhubungan yang positif dengan orang dewasa serta rakan sebaya.
  12. Mengamalkan nilai murni.
  13.  Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam.
  14. Berkomunikasi menggunakan bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa pengantar dalam konteks kehidupan harian.
  15. Meneroka persekitaran menggunakan kemahiran proses sains asas.
  16.  Menggunakan kemahiran matematik asas dalam menjalankan tugasan harian dan menyelesaikan masalah.
  17.  Menggunakan kemahiran berfikir kritis, kreatif dan inovatif dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.
  18. Mengembangkan daya kreatif dan estetika.
  19.  Menghargai keindahan alam dan warisan budaya.
FOKUS PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Pendidikan Prasekolah berfokus kepada usaha untuk menyediakan peluang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Fokus utama adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kanak-kanak, menekankan kepada inkuiri penemuan, dan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran berasaskan projek. Prinsip utama yang digunakan adalah pendekatan dan kandungan pembelajaran perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak dan mengambil kira perbezaan antara individu. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran ini, kanak-kanak akan memperoleh konsep dan kemahiran asas yang akan membantu mereka meneruskan pembelajaran ke sekolah rendah kelak.

VISI PRASEKOLAH

“Pengurusan Pendidikan Prasekolah Bertaraf Dunia”

MISI PRASEKOLAH

Membangunkan Sistem Pengurusan Pendidikan yang Bertaraf Dunia bagi Memperkembangkan Potensi Individu Sepenuhnya dan Memenuhi Aspirasi Negara.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN PRASEKOLAH DI BAWAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

18 Disember 1991           
  • Mesyuarat Jemaah Menteri mengarahkan KPM melaksanakan Program Prasekolah.
  • Sebanyak 1, 131 buah kelas prasekolah telah dibuka termasuk 26 buah di Maktab  Perguruan.                 
6 Jun 2001                          
  • Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju KPM melaksanakan Perluasan Program  Prasekolah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...